Pages

Sunday, January 15, 2012

Kisah Ahli Sufi dengan Seorang Lelaki


Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Kali ini, aku ingin berkongsi sebuah kisah dengan sahabat-sahabat semua. Semoga kisah ini dapat menjadi pengajaran dan panduan buat sahabat-sahabat serta buat diri sendiri khususnya.




Kisahnya bermula begini. Ada seorang ahli sufi yang memang terkenal dengan doanya yang mustajab sehingga tiada satu pun doanya yang tidak dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari, ahli sufi tersebut keluar dari rumah dengan berjalan kaki. Sehinggalah beliau sampai di depan sebatang sungai dan dia ingin ke seberang sana. Jika dia mahu, dia boleh saja berdoa kepada Allah supaya dia dapat berjalan di atas air dan menyeberang sungai dengan sekelip mata. Namun, beliau tidak melakukannya, bimbang akan timbul perasaan riak di dalam hatinya.


Setelah menunggu, datanglah sebuah samapan yang membawa penumpang ke seberang. Di atas sampan tersebut kelihatan beberapa orang yang mempunyai tujuan yang sama. Tiba-tiba, ada seorang lelaki yang bertanya kepada ahli sufi tersebut,


"Wahai ahli sufi, bagaimana kamu berdoa sehingga semua doa-doamu makbul?"


Ahli sufi hanya berdiam tanpa menjawab soalan lelaki tersebut.


Sehinggalah sampai satu masa hanya tinggal tiga orang dalam sampan tersebut iaitu pendayung sampan, lelaki serta ahli sufi tersebut. Tiba-tiba, ahli sufi menolak lelaki tadi sehingga terjatuh ke dalam sungai. Lelaki tersebut dengan semena-mena menjerit meminta tolong. Lelaki itu tidak tahu berenang, dan dia memang bersungguh-sungguh menjerit meminta tolong. Sehinggalah sampai masa pendayung sampan terjun untuk menyelamatkannya.


Sehinggalah lelaki tersebut selamat dan kembali berada di dalam sampan. Setelah menghilangkan penat akibat tercungap-cungap lemas tadi, dia kembali bertanya kepada ahli sufi,


"Wahai ahli sufi, mengapa engkau menolak aku ke dalam sungai?"


"Aku hanya bertanya satu soalan kepada engkau, bagaimana engkau berdoa dan semua doamu mustajab," sambung lelaki itu lagi.


"Itulah jawapanku kepada soalanmu," jawab ahli sufi.


Jawapan itu membuatkan lelaki tersebut terpinga-pinga. Ahli sufi kemudian menyambung dengan persoalan,


"Bagaimana keadaanmu ketika di dalam sungai tadi?"


"Tadi ketika di dalam sungai, aku menjerit-jerit meminta tolong. Berharap semoga adanya pertolongan yang datang, kerana aku sedar aku tak boleh berenang. Aku berdoa kepada Allah supaya adanya orang yang akan datang menyelamatkan aku. Aku bersungguh-sungguh berdoa meminta pertolongan dengan menjerit meminta tolong,"


"Itulah sebenarnya cara kita berdoa kepada Allah. Jika kita inginkan sesuatu daripada Allah, seharusnya kita minta dengan bersungguh-sungguh dan penuh dengan keyakinan dalam doa kita kepadanya,"


Akhirnya, lelaki yang bertanya faham dengan penjelasan yang cuba disampaikan oleh ahli sufi tadi.


Sebagai pengajaran bagi cerita yang disampaikan, berdoalah kepada Dia dengan bersungguh-sungguh. Berdoa dengan penuh keyakinan, dan percaya bahawa Allah sentiasa mendengar doa daripada hamba-hamba-Nya. Terutamanya buat sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan yang tidak lama lagi.

0 comments:

Post a Comment